Seramai 143 bakat muda yang mahir dalam bidang teknologi, berusia antara tujuh hingga 17 tahun dari Malaysia, Thailand, Myanmar, Australia dan Afrika Selatan berkumpul di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi menyertai International Tech Tournament 2026 (MindHack 2026).

Mereka mempamerkan kreativiti, kemahiran teknikal dan pemikiran inovatif menerusi projek berasaskan teknologi.

Dianjurkan Scope IT Education (M) Sdn Bhd dan CIY.Club Malaysia, kejohanan antarabangsa berkenaan berlangsung di Wyndham Grand Bangsar dengan tema 'Guardians of the Planet.'

Tema berkenaan mencabar peserta untuk meneroka bagaimana teknologi boleh diaplikasikan bagi menangani cabaran dunia sebenar serta menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari.