SHAH ALAM – Pendirian Pas ketika berada dalam kerajaan pada 2021 dipersoalkan selepas Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengaitkan Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pendekatan Dajal.Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Pas sebelum ini menerima persefahaman politik yang mempunyai elemen CSA ketika berada dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.Menurutnya, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan ketika itu dengan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021 turut mengandungi elemen CSA bagi menjamin kestabilan kerajaan dan kelulusan Belanjawan."Ketika Pas berada dalam kerajaan, persefahaman sedemikian dianggap perlu demi kestabilan negara. Tidak pula kedengaran istilah Dajal digunakan. Tapi apabila Pas berada di luar kerajaan, mekanisme politik yang serupa tiba-tiba dikaitkan dengan Dajal," katanya dalam perkongsian di Facebook pada Selasa.Kamil mempersoalkan sama ada perkara itu merupakan kaedah baharu dalam politik Pas atau terdapat perbezaan ukuran berdasarkan kedudukan parti berkenaan dalam kerajaan.Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada pendekatan sedemikian mempunyai pengecualian khas untuk rakan sekutu parti tersebut."Apakah ini suatu kaedah baharu dalam politik Pas? Halal bagi kami, haram bagi kamu? Atau hukum politik ini mempunyai pengecualian khas untuk rakan sekutu?" katanya.Menurutnya, perbezaan pandangan mengenai CSA boleh dibincangkan, termasuk berkaitan syarat dan pelaksanaannya.Beliau turut menegaskan, istilah agama tidak seharusnya digunakan untuk menghukum sesuatu mekanisme politik yang pernah diterima ketika Pas berada dalam kerajaan."Kita boleh berbeza pandangan tentang CSA, malah boleh mempertikaikan syarat dan pelaksanaannya. Janganlah sampai istilah agama digunakan untuk menghukum sesuatu yang dahulunya diterima ketika berada dalam kerajaan," katanya.Kamil berkata, perubahan kedudukan politik tidak sepatutnya menyebabkan prinsip yang digunakan turut berubah mengikut keadaan.Beliau mengingatkan bahawa agama mengajar umatnya supaya berlaku adil dan berpegang pada prinsip, bukannya menyediakan dua ukuran berbeza berdasarkan pihak yang sedang berkuasa."Yang berubah ialah kedudukan politik. Jangan sampai neraca halal dan haram pun turut berubah mengikut kedudukan kerusi.Agama mengajar kita berlaku adil dan berpegang pada prinsip, bukan menyediakan dua ukuran berbeza mengikut siapa yang sedang berkuasa," katanya.