Kuala Lumpur: Keselamatan negara susulan peningkatan ketegangan ketenteraan di rantau Asia Pasifik, hala tuju tadbir urus universiti selepas pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta usaha mengekang iklan badal haji meragukan antara perkara yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, William Leong Jee Keen (PH-Selayang) meminta Menteri Pertahanan menjelaskan pendirian kerajaan dalam menghadapi peningkatan ketegangan dan eskalasi ketenteraan di rantau Asia Pasifik, khususnya langkah memastikan keselamatan negara dan kestabilan ASEAN terus terpelihara, semasa sesi soal jawab.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) pula menyoal Menteri Pendidikan Tinggi mengenai jaminan kerajaan bahawa pemansuhan AUKU tidak akan mewujudkan kelompangan perundangan atau ketidakpastian dalam pentadbiran universiti dan prinsip utama yang akan menjadi asas kepada One Higher Education Act yang baharu.