KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)bersedia melaksanakan pembenihan awan di Kedah bagi menghadapi kemungkinan fenomena Super El Nino yang dijangka boleh menjejaskan sektor makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya bimbang kerana sumber air di Kedah bergantung sepenuhnya kepada empangan.

“Di Kedah ada tiga empangan antara Pedu. Paras air di Empangan Pedu ketika ini masih berada pada tahap baik, namun keadaan boleh menjadi kritikal sekiranya hujan tidak turun dalam tempoh panjang.

“Kalau hujan tidak turun berturut-turut dalam tempoh lama, kita cuba pembenihan awan. KPKM bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersedia bekerjasama melaksanakan pembenihan awan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya semasa sidang akhbar pada Rabu ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Skim Takaful Tanaman Padi dan Ramah Mesra bersama Pesawah Negeri Kelantan di Bendang Belukar di hari ini. Hadir sama Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.