PH letak calon muda antaranya Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, Farzana Hayani Nasir, Jason Tze-Xi Nathan dan Denesh Palasubramaniam pada PRN Melaka, 14 Nov depan.PETALING JAYA: Keputusan Pakatan Harapan (PH) mengetengahkan calon muda pada PRN Melaka bertujuan memastikan wakil rakyat mencerminkan perubahan demografi pengundi, khususnya selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, kata Chiew Choon Man.

Naib Ketua Pemuda PKR itu berkata langkah berkenaan juga membuka ruang kepada generasi baharu membuktikan kemampuan sebagai pemimpin, selain membawa perspektif baharu dalam menangani cabaran semasa.

Beliau menyifatkan keputusan PH memberi kepercayaan kepada calon muda itu sebagai langkah berani yang wajar disambut baik, memandangkan ramai tokoh negara turut memulakan kerjaya kepimpinan pada usia muda.