JERANTUT: Selepas bekerja sebagai tukang binaan secara ke­cil-kecilan selama 20 tahun de­ngan pendapatan tidak menentu, seorang penduduk Felda Sungai Tekam di sini, kini menikmati kehidupan lebih selesa apabila projek cendawan komersial diusahakannya menjana pulangan kira-kira RM4,000 hanya dalam tempoh dua minggu.

Md. Zaidi Abdullah, 59, berkata, projek itu dimulakan sejak empat tahun lalu di sebuah bangsal kecil yang dibina sendiri berdekatan kediamannya di situ.

“Sebenarnya, projek tanaman ini dimulakan oleh anak saya dengan memperoleh bongkah cendawan daripada seorang pembekal dari Raub bermula dengan 500 bongkah dan ketika ini sudah ada 3,000 bongkah.

“Setelah anak mendapat kerja lain, saya meninggalkan kerja tukang binaan dengan menumpukan secara serius tanaman ini sambil dibantu isteri, Jahasni Aman, 52, yang menguruskan penjagaan bongkah dan me­ngutip cendawan untuk dipasarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Sungai Tekam.