PETALING JAYA: Selepas menanti selama 36 tahun untuk melihat skuad sepak takraw negara kembali meraih emas berpasukan di Sukan Asia, tekong utama negara, Syahir Rosdi, meluahkan rasa terkilan apabila kejayaan bersejarah itu hanya dihargai dengan ganjaran RM15,000 seorang.

Lebih mengecewakan, jumlah berkenaan jauh berbeza berbanding RM80,000 yang diterima pemenang pingat emas acara individu menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), sekali gus mencetuskan persoalan mengenai jurang penghargaan terhadap kejayaan atlet negara.

Luahan Syahir menerusi media sosial itu turut mendapat perhatian rakan seperjuangannya apabila beberapa pemain lain, termasuk Sobey, Azlan Alias dan Aidil Aiman, turut memberikan reaksi senada berhubung perbezaan nilai ganjaran berkenaan.