Kuala Lumpur: Tiada pergerakan luar biasa dikesan di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Langgak Duta, hari ini.
Selain pertukaran syif rutin membabitkan anggota polis yang bertugas di pondok pengawal kediaman berkenaan, tiada persiapan khusus di sekitar kediaman berkenaan.
Beberapa petugas media turut dilihat berada di kawasan berkenaan bagi memantau perkembangan susulan timbul jangkaan bayaran denda RM50 juta bagi membolehkan Najib menjalani tahanan rumah akan dibuat mulai semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihak polis masih belum menerima sebarang maklumat daripada Jabatan Penjara berhubung perkara itu.









