Ayer Keroh: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengaktifkan kumpulan alumni peserta WorldSkills bagi membolehkan mereka meningkatkan prestasi kontinjen Malaysia pada pertandingan kemahiran akan datang.
Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata, langkah itu bagi memanfaatkan pengalaman dan kepakaran peserta terdahulu bagi melonjakkan standard kemahiran nasional.
"KESUMA akan mengaktifkan kumpulan alumni peserta WorldSkills supaya mereka dapat menyumbang kembali kepada negara dalam meningkatkan prestasi kontinjen dalam pertandingan yang akan datang sekali gus melonjakkan standard kemahiran nasional.
"Melihat kepada pencapaian ini, harapan saya pertandingan seperti ini akan terus melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang bukan sahaja cekap dalam bidang masing-masing tetapi juga kreatif, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri negara," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.









