LISBON: Karier antarabangsa Cristiano Ronaldo sudah sampai ke penghujung, namun bintang terbesar Portugal itu dijangka tidak meninggalkan pentas bola sepak negaranya tanpa satu penghormatan terakhir.

Persatuan Bolasepak Portugal (FPF) mengesahkan pihaknya merancang mengadakan majlis khas bagi memberi penghormatan kepada kapten itu yang mencipta sejarah dan mengubah landskap bola sepak negara berkenaan.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas pemain berusia 41 tahun berkenaan mengesahkan persaraannya daripada arena antarabangsa pada 5 November, sekali gus menamatkan perjalanan selama 23 tahun bersama skuad Selecao.

Ronaldo meninggalkan pentas antarabangsa dengan memegang rekod penampilan dan jaringan terbanyak dalam kalangan pemain lelaki di peringkat antarabangsa, sekali gus meninggalkan legasi yang menurut FPF wajar diraikan menerusi majlis perpisahan penuh bermakna.