Kuala Lumpur: Tindakan menyaman kerajaan berhubung penarikan peruntukan Parlimen Muar bukan bertujuan untuk bergaduh dengan mana-mana pihak, sebaliknya demi memperjuangkan kebajikan penduduk di kawasan yang diwakili, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, perjuangan itu akhirnya membuahkan hasil apabila kerajaan bersetuju mengembalikan RM500,000 peruntukan kebajikan Muar yang sebelum ini ditarik balik, selain meneruskan projek baik pulih infrastruktur bernilai RM230,300.
"Alhamdulillah, RM500,000 wang kebajikan Muar akan dipulangkan. Projek baik pulih infrastruktur bernilai lebih RM200,000 juga akan diteruskan.
"Perjuangan ini bermula pada 2023 apabila saya bersama empat pemimpin tempatan Muar menyaman kerajaan selepas peruntukan yang sudah diluluskan ditarik balik.









