KUALA LUMPUR: Kekangan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) menyebabkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengalihkan sejumlah RM200 juta daripada peruntukan program itu bagi 2026 untuk menampung tunggakan bayaran projek Jalan Luar Bandar (JALB).

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata antara kekangan dihadapi ialah pertikaian pemilikan tanah waris, ketiadaan tapak bersesuaian serta masalah pertindihan nama pemohon.

Beliau berkata pengalihan peruntukan itu dilaksanakan menerusi kaedah Notis Perubahan (NOC) daripada dana asal PPRS 2026 berjumlah RM413 juta bagi mengelakkan peruntukan tahunan tidak dapat dibelanjakan akibat kelewatan pelaksanaan projek.

Bagaimanapun, Rubiah menegaskan langkah penyelarasan itu tidak bermakna kementerian mengetepikan agenda kebajikan dan penyediaan perumahan untuk masyarakat luar bandar.