SIBU - Kawalan keselamatan Lapangan Terbang Sibu menjadi tumpuan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain semasa lawatannya ke sini pada Khamis.AKPS menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, lawatan kerja itu bertujuan menilai keberkesanan pemeriksaan penumpang dan kargo serta penyelarasan antara agensi penguatkuasaan di pintu masuk udara berkenaan."Langkah berkenaan penting bagi memastikan kawalan keselamatan kekal berkesan seiring perkembangan rangkaian perhubungan udara dan potensi pertumbuhan ekonomi wilayah tengah Sarawak."AKPS komited memastikan kelancaran pergerakan penumpang dan barangan sentiasa diseimbangkan dengan keperluan keselamatan dan kedaulatan negara," menurut kenyataan itu. Lapangan Terbang Sibu adalah antara pintu perhubungan udara strategik yang menghubungkan wilayah tengah Sarawak dengan pusat ekonomi utama domestik dan serantau.Lawatan itu adalah sebahagian daripada siri tinjauan Mohd Shuhaily ke pintu masuk negara di Sarawak.Beliau turut mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Bintulu bagi meninjau operasi harian dan bertemu pegawai serta anggota yang bertugas di lapangan.Sebagai pintu masuk perdagangan antarabangsa, Pelabuhan Bintulu mempunyai peranan strategik dalam keselamatan sempadan negara.- Bernama