Tumpuan politik tanah air terarah ke Sarawak hari ini apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh-tarikh penting serta urusan berkaitan pelaksanaan PRN ke-13 negeri itu.

Mesyuarat khas itu akan diadakan di sebuah hotel di Kuching dan dipengerusikan pegawai tertinggi SPR, Ramlan Harun.

Sidang media akan diadakan selepas itu bagi mengumumkan tarikh penting PRN Sarawak ke-13 seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain yang berkaitan.

Pada 23 Okt lalu Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg mengumumkan DUN negeri itu dibubarkan berkuat kuasa 26 Okt bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.