Aliff Daniel Adli yang mencetuskan kontroversi selepas menyertai ritual Hindu sempena Thaipusam, hari ini melafazkan taubat secara terbuka bersama ibu dan adik perempuannya.

Ibunya, Rohizayanti Ramli dan adiknya, selebriti media sosial dan pelakon Nur Ranea Ezreen Adli turut berikrar memperkukuh pengetahuan agama serta membantu proses pemulihannya.

Ketiga-tiga mereka membuat pengisytiharan itu pada Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam, sehari selepas mahkamah memerintahkan Aliff menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan.

Majlis itu disaksikan antaranya Mufti Selangor Anhar Opir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah Mais Khadijah Mohd Khambali@Hambali.