SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dijadual mengadakan Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) membabitkan Aliff Daniel Adli pada Khamis, susulan tindakannya menyertai ritual keagamaan bertentangan dengan hukum syarak.Majlis berkenaan akan berlangsung di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di sini dari jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.Menerusi hebahan di Facebook rasmi JAIS, orang ramai turut dijemput mengikuti majlis itu secara dalam talian menerusi siaran langsung di laman Facebook JAIS.Terdahulu, Aliff Daniel, 21, diperintahkan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah di sebuah kuil di Batu Caves, pada 24 Januari 2024.Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada Rabu mengikut Seksyen 54(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai alternatif kepada hukuman denda atau penjara.Mahkamah turut menasihati tertuduh supaya bertaubat nasuha dan kembali ke jalan benar kerana perbuatan itu merupakan kesalahan berat yang merosakkan tauhid.Mahkamah menetapkan 25 Februari tahun depan sebagai sebutan semula kes untuk pihak pendakwaan memaklumkan laporan pemulihan akidah.Sebelum ini, Aliff Daniel menjadi perhatian selepas beberapa gambar dan video tular didakwa memaparkan dirinya menyertai ritual keagamaan bukan Islam.Susulan itu, JAIS menjalankan siasatan dan menahan Aliff Daniel bersama ibunya di Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dengan bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).