Aliff Daniel Adli bersama ibu dan adiknya melafazkan ikrar taubat secara terbuka menerusi Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini susulan penglibatannya dalam ritual bertentangan hukum syarak.
SHAH ALAM: Lelaki yang tular susulan tindakannya menyertai ritual agama bertentangan dengan hukum syarak, Aliff Daniel Adli, 21, bersama-sama ibu, Rohizayanti Ramli, 52, serta adik perempuannya, Nur Ranea Ezreen, 19, melafazkan taubat secara terbuka hari ini menerusi Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di hadapan tiga saksi utama.
Ketiga-tiga individu itu membuat pengisytiharan dan ikrar taubat secara terbuka pada 2.40 petang di hadapan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS Datin Paduka Dr Khadijah Khambali@Hambali.








