KUALA LUMPUR – Seniwati Noor Kumalasari pernah melepaskan tawaran lakonan bernilai lebih RM100,000 selepas menolak syarat pihak produksi yang memintanya membuka tudung untuk sebuah drama sebelum ini.
Noor Kumalasari, 70, berkata, pelbagai dugaan yang hadir dan tidak mudah untuk kekal istiqamah dalam berhijab namun bersyukur Tuhan tidak menggoyahkan imannya.
“Mula-mula berhijab memang banyak cabaran. Malah, saya pernah dapat satu tawaran bernilai lebih RM100,000 untuk drama bersiri televisyen tetapi tolak begitu sahaja.
“Pihak produksi suruh buka hijab dan katanya perlukan saya buka tudung. Saya terus kata minta maaf, tidak akan buat demi apa-apa pun kerana yakin rezeki itu datang daripada Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis Tribute Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara bersama Datuk Yusof Haslam sempena Festival Filem Malaysia (FFM) di sini, semalam.










