PETALING JAYA: Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas kelab Korea Selatan, Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sebagai suntikan keyakinan besar buat pasukannya.
Selepas melalui tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini, Aidil ternyata puas apabila aksi di laman sendiri di Stadium Taha Ariffin menghasilkan tiga mata penting untuk skuad kendaliannya di pentas Asia.
Menurut Aidil, kemenangan itu juga membuktikan pemainnya mampu menterjemahkan perancangan taktikal dengan persembahan berkualiti ketika berdepan lawan yang mengamalkan corak berintensiti tinggi.
“Kalau kita lihat perlawanan ini, kedua-dua bermain dengan gaya intensiti tinggi, kita beri tekanan kepada mereka seperti mana kita turut ditekan ketika bermain di Korea sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.









