DOHA: Sistem perbankan dalam talian dan transaksi kewangan negara kekal selamat meskipun terdapat percubaan serangan siber oleh pihak bukan negara, termasuk insiden penggodaman laman web Bank Rakyat baru-baru ini.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata setakat ini, percubaan penggodaman yang dikesan tidak membabitkan kecurian data atau menjejaskan operasi sistem perbankan dalam talian negara.

"Setakat ini, kita dapati ada percubaan daripada pihak non-state actor untuk melakukan tindakan-tindakan seperti penggodaman dan sebagainya, tapi tidak lagi mencuri data ataupun mengakibatkan sistem perbankan dalam talian terkesan.

"Jadi, sektor perbankkan, sektor kewangan dan transaksi dalam talian kekal selamat," katanya ketika menjawab pertanyaan seorang rakyat Malaysia, mengenai perkembangan terkini serangan siber terhadap negara, khususnya insiden penggodaman laman web Bank Rakyat selepas menghadiri acara boling Sukan Malaysia di Qatar (SUQMA 2026), di sini hari ini.