PETALING JAYA – Seorang pesara imam meninggal dunia selepas rebah ketika memimpin bacaan doa di lapangan terbang sebelum berlepas ke Makkah bagi menunaikan umrah.

Lebih menyentuh hati, Abdullah Ozkan, 68, ketika kejadian lengkap berpakaian ihram dan sedang memimpin doa bersama sekumpulan jemaah lain.

Menurut laporan portal Turkish Gulf News, kejadian berlaku di Lapangan Terbang Konya, Turkiye, ketika kumpulan jemaah berkenaan berkumpul kira-kira pukul 2 pagi selepas menyelesaikan urusan perjalanan.

Allahyarham yang merupakan pesara imam dari daerah Beysehir, Konya, terlebih dahulu memimpin doa perpisahan sebelum membaca talbiah, kalimah syahadah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.