KUALA LUMPUR: Penyanyi Pasya menyifatkan kerjasama bersama Aryan Putra Entertainment (APE) dan A*CAP (Archive Capital) menerusi single terbaharunya, Tak Tertanggung Lagi, sebagai pengalaman bermakna sepanjang perjalanan seninya.
Pasya yang dikenali menerusi program Mentor 7 berkata, komitmen pasukan produksi dalam menguruskan setiap aspek projek itu membuatkannya berasa dihargai meskipun penglibatannya hanya khusus untuk single berkenaan.
Menurutnya, perancangan terperinci merangkumi penyusunan jadual, perbincangan idea, sesi fotografi dan penghasilan muzik video memberikan pengalaman berbeza selain membuka ruang untuknya mempelajari perkara baharu.
Lagu yang dilancarkan pada 23 Oktober lalu itu merupakan hasil ciptaan Aryan Putra dan diinspirasikan daripada kisah sebenar seorang sahabat rapat yang melalui kegagalan rumah tangga.









