London: Tottenham Hotspur dilaporkan akan mengemukakan aduan rasmi kepada badan pengadil Pro Ref berhubung keputusan tidak melayangkan kad merah kepada pertahanan Leeds United, Jayden Bogle, susulan terjahan keras ke atas Mathys Tel.
Insiden kontroversi itu berlaku ketika Tottenham tewas 0-1 kepada Leeds dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Elland Road, semalam.
Bogle mengasari Tel dengan terjahan yang menyaksikan pemain Leeds itu terkena bahagian belakang buku lali penyerang Tottenham berkenaan, namun pengadil John Brooks hanya memberikan sepakan percuma tanpa sebarang kad.
Pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR), Tony Harrington turut meneliti insiden itu selama kira-kira empat minit, tetapi memutuskan tidak perlu mengarahkan Brooks membuat semakan di monitor tepi padang.








