PENGUMUMAN Google pada Rabu lalu untuk melabur AS$15 bilion, bersamaan kira-kira RM61.1 bilion di Malaysia sepanjang 2027 hingga 2028 adalah langkah peralihan ekonomi kepada infrastruktur digital dan kecerdasan buatan (AI).

Pelaburan ini bukan sekadar pembinaan pusat data, sebaliknya merangkumi tenaga bersih, keselamatan bekalan air dan pembangunan kemahiran.

Menurut pengumuman pada program Mantap Malaysia Bersama AI di Universiti Malaya (UM), rancangan itu membabitkan peluasan kampus pusat data di Selangor dan Negeri Sembilan.

Kampus pertamanya di Elmina Business Park sudah beroperasi manakala kapasiti baharu dijangka menyokong pembangunan perkhidmatan Google Cloud dan aplikasi AI tempatan.