KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Selangor, Perak dan Sarawak setakat 8.30 pagi tadi, menurun kepada 1,210 orang berbanding 4,731 orang direkodkan petang semalam.

Semakan di portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati, kesemua mangsa itu ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Jumlah mangsa itu merangkumi 347 keluarga, iaitu 805 mangsa di Selangor; Perak (398) dan Sarawak (7).

Kesemua mangsa banjir di Selangor ditempatkan di sembilan PPS sekitar Klang, Kuala Selangor, Shah Alam, Gombak dan Sabak Bernam.