Komathi Rethinam melakukan perjalanan ke Gunung Kailash ketika banjir besar melanda di sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu. (Fauzi Yunus @ FMT Lifestyle)KUALA LUMPUR: Ketika Deepavali kembali menjelang, Komathi Rethinam lazimnya mengajak keluarganya untuk membakar biskut dan membuat murukku. Di kala ambang Deepavali dan hari perayaan itu sendiri, mereka sekeluarga akan meraikannya bersama.
Ketika berkunjung ke India awal tahun ini, Komathi ada membeli pakaian untuk semua ahli keluarganya. Pesanannya ringkas: simpan pakaian ini untuk Deepavali.
Hari ini, keluarganya tidak tahu bila Komathi akan pulang ke rumah.
Wanita berusia 48 tahun itu dilaporkan hilang selepas banjir besar melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu. Dia ketika itu sedang dalam perjalanan keagamaan ke Gunung Kailash.








