JAKARTA: Pengalaman kembali menyarung jersi Harimau Malaya di pentas senior disifatkan Fergus Tierney sebagai satu penghormatan besar, malah penyerang itu mahu menggunakan pengalaman berkenaan untuk terus berkembang bersama skuad negara.

Tierney berkata, peluang kembali bersama pasukan kebangsaan senior selepas sekian lama menjadi pengalaman cukup bermakna buat dirinya, terutama apabila Malaysia berjaya menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 dengan pencapaian tempat ketiga.

"Ya, ia adalah satu pengalaman yang hebat. Sudah agak lama sejak saya berada di sini bersama pasukan kebangsaan senior, jadi ia sentiasa menjadi satu keseronokan dan penghormatan untuk mewakili Malaysia.

"Kita melalui kejohanan yang baik, dan saya cuma berharap untuk terus bertambah baik supaya kita boleh terus berkembang sebagai satu pasukan dan melakukan dengan lebih baik lagi dalam kem serta kejohanan yang akan datang," kata Tierney.