KUALA LUMPUR: Industri perbankan bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) sedang membangunkan keupayaan amaran penipuan secara menyeluruh yang membolehkan bank dan pelanggan diberi peringatan mengenai potensi risiko sebelum sesuatu transaksi diselesaikan.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata amaran itu akan mendorong pelanggan untuk berhenti sejenak, berfikir dan membuat pengesahan sebelum meneruskan transaksi.

Beliau berkata, pihaknya menyedari bahawa keupayaan itu mungkin mewujudkan sedikit kesulitan tambahan bagi pelanggan.

Walau bagaimanapun, katanya, langkah itu perlu bagi mencapai keseimbangan yang wajar antara menawarkan kemudahan dan melindungi pelanggan daripada penipuan, khususnya daripada penipuan yang menyebabkan mangsa sendiri membuat atau meluluskan transaksi kepada penipu.