KUALA LUMPUR: Rundingan Malaysia dengan Myanmar setakat ini berjaya membawa pulang lebih 10,000 pelarian Myanmar ke negara asal mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, sebahagian daripada mereka dibawa pulang atas inisiatif kerajaan Myanmar sendiri menggunakan pesawat, manakala kumpulan terakhir seramai kira-kira 1,400 orang termasuk etnik Rohingya dibawa pulang menggunakan kapal tentera laut Myanmar.
“Jadi jumlah 10,000 telah dipulangkan. Saya faham kegelisahan masyarakat antarabangsa, termasuk hak asasi manusia dan teguran oleh rakan-rakan dalam Parlimen serta badan-badan bukan kerajaan di luar Parlimen.
“Tapi syarat yang kita berikan pada junta tentera Myanmar ialah pertama, mesti bawa pulang rakyat Myanmar. Kedua, jaminan layanan yang munasabah kepada rakyat sendiri supaya tiada penderaan, penekanan dan pelanggaran hak asasi,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.









