Kuala Lumpur: Lelaki yang ditahan bersama lebih 100 kilogram (kg) syabu di sempadan Brunei-Miri, Sarawak, pada 31 Oktober lalu disahkan rakyat Malaysia yang dipercayai dalam perjalanan menuju ke Sabah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata suspek berusia 46 tahun itu berasal dari Miri, Sarawak, dan mempunyai dua rekod jenayah lampau.
"PDRM menerima maklumat daripada Biro Kawalan Narkotik (BKN) Brunei berhubung tangkapan seorang lelaki warga Malaysia oleh pihak Kastam Brunei di Pos Kawalan Sungai Tujoh.
"Siasatan awal berdasarkan maklumat BKN Brunei mendapati suspek ditahan ketika memasuki negara itu dari Miri, Sarawak," katanya ketika dihubungi, hari ini.








