KUCHING: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan polis Indonesia selepas disyaki menyeludup dadah jenis syabu seberat 9.20 gram (g) di kawasan Aruk, Sajingan Besar, Kabupaten Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia, Jumaat lalu.

Memetik laporan sebuah portal di Kalimantan Barat, suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah kedai di Jalan Merdeka, Dusun Aruk, Desa Sebunga, hasil risikan polis susulan maklumat orang awam.

Kawasan itu terletak di sempadan Kalimantan Barat-Sarawak dan menjadi antara laluan utama yang menghubungkan kedua-dua wilayah berkenaan.

Menurut laporan berkenaan, sebelum penahanan itu, polis menerima maklumat mengenai kegiatan seorang lelaki dari Malaysia yang dipercayai membawa masuk dadah jenis syabu ke Indonesia.