KUALA LUMPUR: Pengumuman 10 calon bagi setiap 21 kategori dipertandingkan pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-38 pada majlis pelancaran di Ombak KLCC di ibu negara, kelmarin, menjadi kejutan manis buat empat anak seni dan personaliti muda, iaitu Qistina Khaled, Adrian Kok atau Adrian Mr Pov, Hussain serta atlet e-sukan negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira.
Masing-masing mengakui tidak menyangka terpilih dalam kategori dipertandingkan, apatah lagi berpeluang bersaing sebaris dengan calon lain yang lebih berpengalaman dan mempunyai pengikut tersendiri.
Bagi mereka, pencalonan ABPBH 38 bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya penghargaan bermakna terhadap usaha dan perjalanan yang dilalui dalam bidang masing-masing.






