Bayan Baru: Hujan lebat yang berterusan dalam tempoh hanya sejam sudah cukup untuk menyebabkan banjir kilat di sekitar Bayan Baru, sekali gus mengakibatkan kerosakan harta benda serta kesesakan lalu lintas yang teruk.
Penduduk dan peniaga mendakwa masalah itu sudah berlarutan kira-kira lapan tahun lalu dan dalam tempoh itu beberapa inisiatif pencegahan banjir turut dilaksana, namun tidak mampu menyelesaikan isu sepenuhnya.
Setiap kali banjir, penduduk berkongsi situasi bencana di media sosial yang memaparkan jalan raya digenangi air dan pengguna jalan raya terpaksa menolak kenderaan masing-masing yang tersadai dalam banjir.
Pemilik bengkel baiki kenderaan di Jalan Mahsuri yang mahu dikenali sebagai Bok, 42, berkata, kali terakhir bengkelnya dinaiki air pada 21 Oktober lalu.






