USAHA membangunkan projek hijau bukan sahaja dapat membantu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca, malah berpotensi membuka sumber pendapatan baharu kepada syarikat dan pemilik aset hijau menerusi Pasaran Karbon Sukarela (VCM).

Menerusi pasaran ini, kredit karbon yang terhasil daripada aktiviti pengurangan atau penyingkiran pelepasan gas rumah kaca boleh dijual kepada organisasi yang mahu mengimbangi pelepasan karbon masing-masing.

Bagaimanapun, pembangunan projek karbon memerlukan perancangan rapi, pengesahan bebas serta pemantauan berterusan bagi memastikan kredit yang dihasilkan mempunyai nilai dan integriti.

Menurut Buku Panduan Pasaran Karbon Sukarela Bursa Malaysia versi 1.2.1 yang diterbitkan pada Mac 2025, terdapat beberapa perkara utama yang perlu difahami sebelum sesebuah organisasi menceburi pasaran berkenaan.