KUALA LUMPUR: MyDCD Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM268.8 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 November ini.

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan yang mengkhusus dalam integrasi sistem mekanikal, elektrikal, paip dan perlindungan kebakaran (MEPF), khususnya bagi pusat data itu melancarkan prospektus IPO hari ini pada harga tawaran 56 sen sesaham.

IPO itu membabitkan terbitan 335 juta saham baharu yang dijangka menjana hasil kasar RM187.6 juta kepada syarikat, manakala 145 juta saham sedia ada ditawarkan menerusi penempatan persendirian untuk menjana RM81.2 juta kepada pemegang saham penjual.

Berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 1.794 bilion saham, MyDCD dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM1 bilion selepas disenaraikan.