KUALA LUMPUR: SKA Capital Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM103.4 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, bagi memperkukuh kapasiti pelaksanaan projek infrastruktur tenaga.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM72.3 juta akan diperoleh syarikat menerusi terbitan saham baharu, manakala selebihnya melibatkan tawaran saham sedia ada oleh pemegang saham.

Penyedia penyelesaian kejuruteraan infrastruktur tenaga itu menawarkan 168.075 juta saham biasa baharu pada harga IPO 43 sen sesaham, manakala 72.4 juta saham sedia ada turut ditawarkan untuk jualan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Pengarah Urusannya, Datuk Subas Kumar Ambairam berkata, hasil IPO itu akan digunakan bagi memperkukuh kapasiti kumpulan untuk melaksanakan projek infrastruktur tenaga berskala lebih besar serta meningkatkan keupayaan mengendalikan beberapa projek secara serentak.