JOHOR BAHRU: Polis menahan empat lelaki susulan penularan video memaparkan kejadian pembakaran mercun atas jalan berhampiran lampu isyarat di Taman Nesa, Skudai, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor, berkata suspek berusia antara 16 hingga 25 tahun itu ditahan dalam operasi di sekitar Skudai, kira-kira jam 7.30 malam tadi.

"Tangkapan dan beberapa rampasan dilakukan susulan penularan rakaman video kejadian itu di media sosial pada hari sama.

"Hasil semakan mendapati semua suspek tiada rekod jenayah lampau, manakala keputusan ujian saringan awal air kencing terhadap mereka juga negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.