KUANTAN – Meskipun belum dikenali ramai, buah Longan Brazil atau turut dikenali sebagai Matoa tetap mendapat perhatian pelanggan yang sudah biasa menikmati buah berkenaan.Mempunyai tiga variasi warna kulit iaitu hijau, hitam dan ungu, buah yang dijual di gerai terbabit didatangkan dalam variasi warna hitam, manakala jenis berwarna hijau dikatakan mempunyai sedikit rasa seakan-akan durian.Pekerja gerai buah-buahan, Asrul Asri, 19, berkata, Longan Brazil mempunyai rasa lemak manis yang agak sukar digambarkan, terutama bagi mereka yang pertama kali mencubanya.Menurutnya, variasi berwarna hijau juga agak sukar diperoleh berbanding dua jenis lain."Buah ini sebenarnya mempunyai pelbagai rasa. Kalau orang pertama kali makan, mungkin mereka tidak tahu rasa buah apa kerana rasanya lemak manis."Kalau longan yang hijau itu ada sedikit rasa durian, tetapi memang susah hendak dapat," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kuantan di sini pada Isnin.Asrul berkata, bekalan buah berkenaan diperoleh dari Perak dan dijual pada harga berbeza mengikut jenis.Ujarnya, Longan Brazil variasi warna hitam atau gred nombor dua dijual pada harga RM35 sekilogram (kg), manakala variasi hijau ditawarkan pada harga RM60kg."Saya tidak menjual longan Brazil hijau kerana sukar diperoleh dan hanya ada variasi buah mempunyai tona warna kulit hitam atau perang gelap ini sahaja," tambahnya lagi.Mengulas sambutan pelanggan, Asri memberitahu, jualan buah berkenaan pernah mencecah antara 50 hingga 100kg sehari."Kalau yang tahu tentang buah ini, memang mereka akan beli, terutama pelanggan yang sudah pernah merasainya."Sekarang ini jualan agak perlahan kerana orang ramai belum begitu mengenalinya dan ada juga yang bertanya tentang rasa buah ini sebelum mencubanya," katanya.Sementara itu, seorang pembeli, Ghazali Talib, 55, berkata, keunikan rasa Longan Brazil menjadi antara sebab dia berminat mendapatkan buah berkenaan setiap kali menemuinya.Menurutnya, rasa lemak manis buah itu mempunyai kelainan tersendiri berbanding longan biasa.Katanya, Longan Brazil juga bukan mudah ditemui di pasaran, menyebabkan dia tidak melepaskan peluang untuk membelinya apabila menemui penjual yang menawarkan buah berkenaan."Kalau jumpa memang saya akan beli kerana bukan selalu dapat jumpa buah ini. Rasanya pun unik dan berbeza daripada buah lain, terutama yang berwarna hijau kerana ada sedikit rasa durian."Memang agak susah hendak dapat, jadi kalau ada dijual, saya akan ambil peluang untuk beli," jelasnya.