KOTA BHARU – Seorang lelaki mental lari lintang-pukang menyelamatkan diri selepas melihat rumahnya di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini terbakar dalam kejadian pagi tadi.
Kebakaran kira-kira pukul 8 pagi itu dipercayai berpunca daripada abu rokok yang terkena longgokan sampah sarap dan pakaian di dalam bilik mangsa.
Abang mangsa, Nawi Ismail, 55, berkata, dia mengesyaki kejadian itu berlaku akibat api rokok yang masih menyala di dalam bilik adik bongsunya yang berusia 45 tahun.
Menurutnya, kebakaran disedari jiran yang melihat api mula marak dari bilik rumah berkenaan sebelum memaklumkan kepada kakaknya, Norma, 56, yang tinggal di rumah bersebelahan bersama ibu bapa mereka.









