SABAK BERNAM: "Awalnya saya tidak percaya sehinggalah melihat sendiri gambar kereta yang terbabit kemalangan dengan gambar ibu yang sudah tidak sedarkan diri," kata Ammar Azizi Jasni, 28.

Ammar Azizi adalah anak kepada wanita warga emas yang maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas sendiri di Jalan Haji Sadri, Kampung Banting, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8 pagi, Rohani Marjuki, 65, pesara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam yang memandu Proton X50 meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Saya hanya mengetahui kejadian itu jam 8.30 pagi," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, di sini hari ini.