KUALA LUMPUR: Tujuh Rang Undang-Undang (RUU) termasuk berkaitan pengangkatan, pendaftaran penjenayah, Mahkamah Kehakiman dan pembaharuan semula bandar antara urusan perundangan yang disenaraikan untuk perhatian Dewan Rakyat selepas perbahasan Belanjawan 2027 selesai.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat bertarikh 5 November lalu, beberapa RUU berkenaan disenarai untuk bacaan kali kedua, manakala sebahagian lagi membabitkan penyambungan perbahasan yang belum selesai.
Antara yang disenaraikan ialah RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026 dan RUU Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini (Pindaan) 2026, kedua-duanya di bawah tanggungjawab Menteri Dalam Negeri.
Turut disenaraikan ialah RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2026 yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, selain RUU Penjara (Pindaan) 2026 dan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.










