Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, membenarkan peguam Rosli Dahlan untuk memulakan semakan kehakiman, bagi mencabar tindakan polis dan pendakwa raya yang menyita empat akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) miliknya di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Dr Choo Kah Sing, Datuk Nadzarin Wok Nordin dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, sebulat suara membenarkan rayuan Rosli untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak permohonan kebenarannya.
Panel rayuan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh mengenai merit substantifnya di hadapan hakim atau pesuruhjaya kehakiman yang berbeza.










