PETALING JAYA – Tular di media sosial dakwaan tiga individu meninggal dunia akibat disambar petir ketika berada di kawasan padang awam Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang, petang tadi.
Dakwaan itu menjadi perhatian selepas beberapa gambar dan rakaman video memaparkan tiga individu terbaring berhampiran sebatang pokok besar di kawasan berkenaan tersebar di media sosial.
Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Benny Sandika, kejadian itu didakwa meragut tiga nyawa selepas mereka disambar petir ketika hujan lebat melanda kawasan tersebut.
Berdasarkan gambar yang tular, kelihatan kesemua mangsa telah terbaring di atas permukaan jalan yang basah berhampiran pokok, manakala anggota polis turut dilihat berada di lokasi kejadian.










