PETALING JAYA – Suasana tenang di sebuah kawasan peranginan di Ulu Yam bertukar cemas apabila sebuah calet berhampiran sungai terbakar dengan api marak menjilat hampir keseluruhan bahagian atas bangunan berkenaan.

Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila kedengaran suara individu memberi amaran supaya tidak menyentuh wayar yang dipercayai berada berhampiran lokasi kebakaran.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, api dilihat marak membakar bahagian tingkat atas calet berkenaan, manakala asap hitam tebal berkepul-kepul memenuhi ruang udara.

Rakaman itu turut memperlihatkan seorang lelaki berbaju biru berada tidak jauh dari lokasi kejadian sambil mengangkat tangan seolah-olah memberi isyarat kepada individu lain.