KUANTAN – King’s Park Development Sdn. Bhd. (King’s Park) dan Rita Synergy Holding (Rita Synergy) memeterai perjanjian kerjasama bagi membangunkan projek hartanah King’s Park Genting Highlands, sekali gus membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perniagaan dan gaya hidup.
Kerjasama strategik itu turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Pahang menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Pahang yang disasarkan mampu merancakkan ekonomi tempatan dan menarik lebih ramai pelancong domestik serta antarabangsa.
Antara komponen utama pembangunan tersebut adalah Silk Road Market yang dirancang sebagai destinasi komersial dan pelancongan yang menggabungkan pelbagai tarikan termasuk gastronomi, produk tempatan, makanan dan minuman (F&B) serta ruang perniagaan.










