KUALA PILAH – Pemandu yang sebelum ini terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan dan didapati positif dadah sekali lagi dikaitkan dengan insiden kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran pekan Tanjong Ipoh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, sebuah Toyota Vios dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Nissan Grand Livina yang sedang bergerak dari arah Seremban menghala ke Bahau.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, impak pelanggaran menyebabkan Nissan Grand Livina berkenaan menggelongsor ke hadapan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah Proton Wira.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap pemandu Toyota Vios itu menemukan bahan disyaki dadah jenis cecair MDMA dan Erimin 5, menyebabkan lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.