DUA tahun menyepi, penyanyi, Aufahanie kembali mewarnai industri hiburan tanah air apabila nekad meninggalkan kerjaya pramugari di sebuah syarikat penerbangan selepas pemergian abangnya, Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar sekitar 2024.

Aufahanie atau Nur Aufahanie Mokhtar, 23, berkata, dia mengambil keputusan beralih kepada kerjaya pramugari ketika itu kerana diselubungi kesedihan setiap kali muncul di pentas gara-gara teringat arwah abangnya itu.

"Selepas abang Am (Afham) pergi, saya rasa 'down' dan tidak gembira kerana sebelum ini setiap kali menyanyi, abang Am selalu ada bersama saya. Apabila di pentas saya teringatkan arwah. Jadi, saya ambil keputusan bertukar bidang lain.

"Saya perlu bekerja dan mencari pendapatan sebab nak jaga kebajikan emak. Selepas abang Am pergi, cuma tinggal saya dengan kakak. Selepas hampir dua tahun terbang di awan biru (pramugari), kini saya sedia kembali mewarnai bidang nyanyian," katanya.