PETALING JAYA: Jualan motosikal di negara ini dijangka meningkat tiga peratus pada 2027, disokong pelaksanaan kenaikan gaji minimum, trend peningkatan permintaan ketika tahun pilihan raya serta bantuan pendapatan kepada penunggang perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan.
Menurut CGS International Securities (CGSI), kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027 berpotensi meningkatkan kuasa beli pengguna, sekali gus menyokong permintaan terhadap motosikal.
Ujar firma itu, tambahan pendapatan sebanyak RM300 sebulan secara umumnya mampu menampung ansuran bulanan bagi model Yamaha 135LC yang menjadi antara motosikal paling laris di pasaran, berdasarkan pembiayaan selama lima tahun.









