Kehadiran pengunjung yang memenuhi beberapa tarikan utama di Langkawi sempena cuti Deepavali dan hujung minggu sekali lagi menunjukkan kekuatan pulau peranginan itu sebagai pilihan pelancong domestik. Di Oriental Village, pengunjung mula berkumpul seawal 7 pagi untuk menaiki Langkawi SkyCab ke puncak Gunung Machinchang walaupun operasi hanya bermula pada 9 pagi. Underwater World Langkawi turut menjadi antara tarikan pilihan keluarga sepanjang tempoh cuti berkenaan.
Pada pandangan saya sebagai pensyarah dalam bidang pelancongan, keadaan ini memang petanda positif dari sudut permintaan. Namun, barisan yang panjang juga membawa mesej lain yang tidak harus terlepas daripada perhatian pemain industri. Populariti sesebuah destinasi perlu diurus dengan baik kerana pengalaman pelancong tidak hanya ditentukan oleh tarikan yang mereka kunjungi, tetapi juga oleh masa menunggu, kemudahan bergerak dan kelancaran keseluruhan perjalanan.









