Peguam Farhan Shafee yang mewakili Najib Razak berkata tiada apa-apa dalam perintah pelepasan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerlukan tafsiran.PETALING JAYA: Peguam Najib Razak mendakwa Jabatan Peguam Negara (AGC) mengubah pendirian pada saat akhir berhubung pelaksanaan perintah tahanan rumah ke atas bekas perdana menteri itu.

Farhan Shafee berkata, kenyataan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, semalam menunjukkan perubahan pendirian berbanding kenyataan AGC sebelum ini yang menimbulkan kekeliruan.

"Jadi, yang mana satu? Adakah AGC mengatakan terdapat dua interpretasi yang mungkin atau perintah itu sendiri cacat? Ini dua aduan berbeza dan setiap satunya mempunyai remedi berbeza.

"Sukar bagi kami memberikan jawapan tepat apabila pihak yang membuat kenyataan-kenyataan ini terus mengubah tiang gol dan pendiriannya," katanya menurut Berita Harian.